Labels

Saturday, October 10, 2015

Catatan Rehlah Haji Abu Anas Madani 1436H (Siri 2)

Ke Mina, Arafah, Muzdalifah dan Mina.
Pada malam Selasa 7hb Zulhijjah (21 Sep 2015) Jemaah Ash-har Maktab 94 telah dihantar ke Mina untuk beribadat pada Hari Tarwiyah seperti mana amalan  Rasulullah s.a.w. ketika mengerjakan haji.
Alhamdulillah sepanjang hari berada di Mina, setiap kali lepas solat kami penuhi dengan kuliah dan tazkirah serta bacaan zikir pagi dan petang.
Bermula Subuh pagi 8 Zulhijjah dengan zikir dan kuliah Subuh. Sebelum solat Zuhur juga ada kuliah. Selepas solat Zuhur dibantu kuliah oleh Ustaz Abdullah Bukhari dengan tadabbur ayat-ayat Haji. Juga kuliah disambung lagi selepas solat Asar dan Maghrib.
Satu dialog terbuka pula diadakan selepas solat Isya' pada malam Arafah untuk memberi peluang kepada jemaah berbincang dan bertanya tentang  perkara yang mereka inginkan penjelasan.

Lihat siri 1http://www.abuanasmadani.blogspot.my/2015/10/catatan-rehlah-haji-abu-anas-madani.html


Penjelasan Solat Qasar & Jamak Di Mina, Arafah & Muzdalifah. 



Cabaran Haji Mabrur!
Senang mengucapkannya, namun berat untuk meraihnya.
Cabaran datang dari pelbagai sudut:

1) Cabaran Dalaman
Ini berlaku dari individu yang melakukan haji itu sendiri jika tidak mengikut syarat yang ditetapkan oleh Syara'. Samada tidak belajar hukum Manasik haji dan adab mengerjakan Haji. Perkara ini menjadi asas yang boleh menyebabkan amalannya tidak sempurna kerana mereka akan melakukan ibadat ikut orang buat, atau cerita kawan-kawan yang datang sebelumnya buat haji atau menafsir sendiri cara amalan haji.

2) Cabaran Luaran
Pertama: Salah memilih kawan yang bersama dengannya dalam rehlah Haji. Pengaruh rakan yang negatif akan membuatnya lagha (lalai) dengan cakap-cakap atau perbuatan yang menyimpang dari matlamat Haji itu sendiri.
Kedua: Bahagian pengurusan dan penganjur samada dari negaranya sendiri atau dari pihak tempatan di Makkah & Masya'ir, yang tidak menyantuni jemaah sebagai Dhuyuf ar-Rahman. Namun dianggapnya sebagai habuan untuk meraih keuntungan semata-mata. Tidak menyediakan tempat atau makanan yang mencukupi, kenderaan dan lain-lain keperluan. Allahu al-Musta'aan!.
Semoga Allah anugerahkan kepada sekalian Dhuyuf-Nya kesabaran dan limpahan rahmat serta keampunan dan menggapai maqam "Haji Mabrur" yang diidamkan dan didambakan.
[#AAM, Mina Maktab 94. Selasa, Jam 2:22 pm Hari Tarwiyah 1436H].

Ke Arafah: 9 Zulhijjah (24 September 2015).
Alhamdulillah, jemaah haji Ash-Har yang ditempatkan di Maktab 94 dapat beribadat pada Hari Tarwiyah di Mina, dengan berbagai aktiviti ibadat dan ilmu yang diadakan.
Maka setelah selesai solat subuh pagi Arafah, pada Jam 7:05 pagi Rabu, kami bergerak ke Arafah dan selamat sampai jam 7:20am.
Jemaah yang dalam maktab 112 dan 68 juga alhamdulillah dibimbing oleh guru masing-masing yang hampir sama dengan apa yang kami lakukan di 94, di bawah pembimbing yang sudah terlatih dan berpengalaman insya' Allah.

Kuliah Dhuha di Arafah.
Setelah semua jemaah mengambil tempat di khemah yang dikhaskan untuk jemaah Ash-har, bersarapan pagi serta rehat seketika, kami mempersilakn Ustaz Abdullah Bukhari menyampaikan Tadabbur Ayat-ayat Haji di Arafah dengan huraian kepentingan doa berdasarkan amalan Nabi Ibrahim 'alaihissalam.

Ust Abdullah Bukhari (06) Rehlah Haji 1436; 
Tazkirah di Arafah, Tadabbur Ayat Haji Tentang Doa Ibrahim
Lihat:

Jam 11:30am Bersiap Untuk Wukuf.
Pada tahun ini Pihak TH & Maktab 94 meminta supaya Abu Anas menyampaikan Khutbah Arafah kepada jemaah di Surau Maktab.
Memandangkan lokasi yang agak sempit dan khemah yang sangat terhad, maka tidak ramai jemaah yang boleh mengikutinya. Ada jemaah terpaksa buat kumpulan sendiri di tempat masing-masing, demikianlah keadaan di Arafah dan Mina, tempat sangat terhad.
Isi kandungan Khutbah berkisar tentang  kelebihan dan adab bertamu di Arafah, serta huraian 10 Wasiat Rasulullah s.a.w Ketika Hajjatul Wada'.

[Tuan Haji Ahmad Admara - Pegawai TH yang Sangat Kuat Bekerja]

AAM Rehlah Haji 1436 (07); Khutbah Arafah -
Limpahan Rahmat Allah Ke Atas Hamba-Nya di Arafah 
& 10 Wasiat Nabi s.a.w dalam Khutbah Wada' di Arafah.

Lihat di:

https://youtu.be/x87-1bjPjAI

Solat Zuhur jama' taqdim di imamkan oleh Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi.
Selesai solat Zuhur & Asar, jama' taqdim, jemaah berzikir dan bermunajat secara sendirian sehingga petang.
AAM; Doa Zikir & Munajat Di Arafah 
Serta Teguran Kpd Pembimbing Munajat Arafah & Mina 

Ada juga sesetengah pak Syeikh syarikat yang berzikir dengan kuat menggunakan pembesar suara sehingga menganggu jemaah lain yang khusyu' berzikir dan bermunjat. Fenomena ini agak sukar untuk dibendungnya kerana sudah menjadi kebiasaan sebahagian syarikat atau PJH (Pengendali Jemaah Haji), siap dengan bawa ustaz yang bersuara merdu untuk bermunajat dan berlagu di Arafah & Mina.


Hari Yang Paling Utama
Hari ini adalah hari yang ke sembilan dalam bulan Zulhijjah. Hari ini dikenali sebagai hari Arafah.
Ada orang yang berada di Arafah. Ada yang tidak berada di sana.
Ada yang sedang melaksanakan puasa hari Arafah bagi mereka yang tidak mengerjakan haji. Ada pula yang sedang menunaikan haji dengan berwukuf di Arafah dengan agenda tersendiri mengikut Sunnah Nabi s.a.w.
Syeikh Muhammad bin Abu Bakar rahimahullah berkata:
إن أفضل أهل كل عمل أكثرهم فيه ذكراً لله عز وجل، فأفضل الصوام أكثرهم ذكرا لله عز وجل في صومهم، وأفضل المتصدقين أكثرهم ذكرا لله عز وجل، وأفضل الحاج أكثرهم ذكرا لله عز وجل، وهكذا سائر الأحوال.
"Sesungguhnya ORANG YANG PALING UTAMA pada setiap golongan yang melakukan sesuatu
amalan adalah ORANG YANG PALING BANYAK BERZIKIR (MENGINGATI) Allah Azza Wa Jalla.
Jadi, orang yang paling utama di kalangan orang yang BERPUASA adalah orang yang paling banyak berzikir (mengingati) Allah Azza Wa Jalla ketika dia sedang berpuasa.
Orang yang paling utama di kalangan orang yang BERSEDEKAH adalah orang yang paling banyak berzikir (mengingati) Allah Azza Wa Jalla.
Orang yang paling utama di kalangan orang yang MENUNAIKAN HAJI adalah orang yang paling banyak berzikir (mengingati) Allah Azza Wa Jalla.
Begitulah juga pada amalan yang lain." [Al-Wabil As-Soyyib, ms: 104]
Jadilah yang paling utama. Berzikirlah!
[#Arar, Haj 1436H]

[Firdaus Khidmat Siqayah Al-Haj di Muzdalifah]
Ke Muzdalifah.
Tahun ini jemaah Ash-Har mendapat giliran no. 1 untuk keluar dari Arafah dan juga Muzdalifah. Masuk waktu maghrib rombongan kami telah berangkat ke Muzdalifah. Menunaikan solat Maghrib dan Isya' jama' ta'khir di Muzdalifah. Kemudian aktiviti bebas seperti kutip anat batu, berzikir & tidur.
Dalam perjalanan ke Muzdalifah biasanya berlaku kesesakan dan jem yang agak teruk, melainkan jemaah yang menggunakan jalan Taraddudiyah (khas untuk bas jemaah tertentu sahaja) maka perjalanannya agak cepat, Arafah-Muzdalifah sekitar 20-30 minit sahaja.
Apabila sudah sampai setengah malam kami pun diarah berangkat ke Mina pula.

SESAK
Apabila dalam keadaan sesak, maka adab dan akhlaq perlu dijaga dengan sebaik-baiknya. Nabi sollallahu alaihi wa sallam adalah contoh terbaik.
Usamah bin Zaid radhiyallahu anhuma berkata:
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يمشي عنقا فإذا وجد فجوة نص
"Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam berjalan dengan anaq (tidak terlampau laju atau terlampau perlahan), apabila ada tempat yang luas, maka Baginda cepatkan perjalanannya" [Sahih Bukhari]
Baginda sollallahu alaihi wa sallam tidak menyakiti orang lain dengan bersesak-sesak dan tolak-menolak.
Malah, Baginda sollallahu alaihi wa sallam memerintahkan sahabat radhiyallahu anhum untuk berjalan dengan TENANG apabila bertolak dari Arafah.
Baginda bersabda:
عليكم بالسكينة
"Hendaklah kamu semua (bergerak) dalam keadaan tenang" [Muttafaqun Alih]
Jika semua manusia mengikut petunjuk, akhlak dan adab yang diajar Nabi sollallahu alaihi wa sallam, maka semua perjalanan akan teratur.
Pepatah Arab menyebutkan:
لعمرك ما ضاقت بلاد بأهلها - ولكن أخلاق الرجال تضيق
Demi sesungguhnya, sebuah negeri tidak sempit kerana (bilangan) penghuninya;
Namun, SIKAP (AKHLAK) PENGHUNINYA, yang menyempitkannya.
Wallahu alam. [#Arar, Haj 1436H]


Kematian di Mina.
Pada tahun ini berlaku peristiwa yang tidak diingini di Jalan 204 dari Muzdalifah ke Mina, jemaah yang sesama berjalan kaki bertembung dan berlaku rempuhan yang menyebabkan kematian yang ramai. Ada anggaran mengatakan lebih 1000 orang dan pihak TH telah mengesahkan hanya seorang jemaah haji dari Malaysia yang terkorban.

Ekorannya, pelbagai tafsiran dan ulasan dari para pengulas dan penganalisis, tentang punca yang menyebabkan berlakunya peristiwa tersebut telah dikeluarkan dan disebarkan tanpa authoriti sebenar. Namun punca sebenarnya masih belum keluar daripada kenyataan rasmi dari pihak berkuasa Arab Saudi.

SIARAN AKHBAR
TH mengesahkan seorang Jemaah Haji Malaysia meninggal dalam rempuhan Mina
https://www.facebook.com/TabungHaji/posts/975930289134836 ]

Lihat Catatan Dato' Dr Asyraf Wajdi Dusuki - Ketua Rombongan Haji Malaysia Tahun 1436H-,  mengenai kejadian di Makkah & Mina.

Pancung! 
Peristiwa Rempuhan Berlaku Pada Pagi Hari Raya, Petangnya dah keluar cerita Kerajaan Saudi Pancung 28 Orang Petugas haji. Tindakan ini sangat tak logik, bila mahkamah bersidang sehingga dijatuhkan hukuman sebegitu cepat.

AWAS!
Berhati-hatilah para jemaah jangan mudah percaya dengan khabar angin dan suka pula menyebarkan berita yang kita tidak pasti kesahihannya.

Berhati-hati Share dan Copy & Paste
Walaupun sekadar share atau copy & paste status atau artikel orang lain, 
seseorang tetap dipertanggungjawabkan atas tindakannya. 
Jika statusnya bermanfaat, mudah-mudahan pahala diperoleh. 
Jika statusnya mengundang dosa, maka dosa juga yang akan ditanggung.
Al-Hafiz al-Munziri (wafat 656H) mengatakan, 
"Orang yang menyalin suatu yang tidak bermanfaat yang membawa kepada dosa akan menanggung dosa perbuatan tersebut, dosa orang yang membacanya, 
dosa orang yang menyalinnya kembali, 
atau dosa orang yang mengamalkannya selepas daripadanya, selama mana tulisannya kekal dan selama mana ia diamalkan".
‪#‎LHH‬. 15/12/1436H.

Hari Raya & Tasyriq di Mina.
Amalan hari raya bagi jemaah haji ialah melontar Jamrah al-Aqabah atau Jamrah al-Kubra kemudian bercukur atau bergunting. Bercukur lebih afdhal kerana doa Nabi s.a.w tiga kali rahmat untuk orang yang bercukur. Bagi wanita tidak ada pilihan melainkan memotong hujung rambutnya sekadar seruas jari sahaja.
Setelah selesai melontar dan bercukur atau bergunting maka berlakulah Tahallul Awwal (pembebasan dari 10 larangan Ihram). Kemudian apabila selesai Tawaf Ifadhah dan Sa'ei Haji maka berlakulah Tahallul Thani (bebas dari semua larangan ihram).
Dalam istilah ilmu haji, tahallul awwal berlaku apabila jemaah melakukan dua dari tiga amalan haji pada hari raya.
Iaitu; Melontar dan bercukur atau tawaf & saei dan bercukur. Apabila dilakukan ketiga-tiganya maka terlaksanalah tahallul thani. Wallahu a'lam.




Makanan di Khemah ala kadar untuk menahan lapar, syukurlah dengan rezeki yang Allah berikan.


Aktiviti di Mina.
Amalan Haji di Mina ialah Bermabit dan Melontar Jamrah.

Mengikut hadis Nabi s.a.w; "Hari Mina ialah hari makan, minum dan berzikir". [HR Abu Daud].
Maka kami memenuhi hari-hari Mina dengan melakukan solat ikut waktunya, diikuti dengan zikir, takbir dan tazkirah.
Alhamdulillah banyak ilmu yang dapat disampaiakn serta manfaat ukhuwwah juga dimantapkan.

Musim Ilmu
Makkah dan Madinah adalah tempat berkumpulnya ulama' dan penuntut-penuntut ilmu.
Di Makkah, terletaknya Kaabah dan tempat tempat untuk menunaikan haji. Manakala di Madinah, terletaknya Masjid Nabawi.
Abu Ja'far Muhammad bin Ali Al-Baqir rahimahullah berkata:
إنه ليزيدني في الحج رغبة لقاء عمرو بن دينار، فإنه يحبنا ويفيدنا
"Sesungguhnya pada MUSIM HAJI  keinginanku  untuk bertemu 'Amru bin Dinar bertambah. Ini kerana dia mencintai kami dan MEMBERIKAN FAEDAH (ILMU) kepada kami". [As-Siyar 5/303]

Musim Haji adalah musim ilmu.
Ambillah peluang berada di Makkah dan Madinah untuk bertemu dengan ahli ilmu,  hadir di dalam majlis mereka dan menuntut ilmu daripada mereka.
Ambillah ilmu daripada mereka. Tanyalah kepada mereka persoalan berkenaan haji yang ingin dilakukan .
Tanyalah juga kepada mereka persoalan yang menjadi kewajipan untuk dilaksanakan seperti Aqidah, Solat, Puasa, Zakat dan sebagainya.
Semoga Allah mengurniakan ilmu yang diberkati dan haji yang mabrur.
[#Arar, Haj 1436H]

Ambillah peluang belajar dan bertanya ketika bersama para pendakwah & ustaz agar kefahaman agama yang kita pegang dan amal bertepatan dengan arahan Baginda Nabi sollallahu 'alaihi wasallam.
"Ambillah daripadaku amalan haji kamu" dan "Bersolatlah sebagaimana kamu lihat aku solat".
[#AAM, Mina, Malam Jumaat. - Malam Tasyriq pertama 1436H].

Yaum Al-Qarr. (11 Zulhijjah)
Menjadi kebiasaan bagi kami di Mina ini mengadakan majlis taaruf antara jemaah, memperkenalkan diri dan keluarga serta negeri asal untuk merapatkan ukhuwwah sesama jemaah. Pada tahun ini majlis terpaksa dilewatkan mulanya kerana ana kena jumpa doktor perubatan untuk pemeriksaan kesihatan.

Selain taaruf ada juga yang kami minta para jemaah menceritakan secara ringkas pengalaman hidupnya yang agak menarik.
Dalam group kami ada ramai jemaah dari JKIM, iaitu Jawatankuasa Kebajikan Islam MAS (Malaysian airlines).
Kami meminta seorang pilot, Kapten Haji Firdaus berkongsi pengalamanya selama 20 tahun bertugas di udara.
Beliau lepasan Australian Civil Air Academy, Cessnock, Australia pada 1993. Pada tahun 1997 ,ditauliahkan sebagai pembantu juruterbang Boeing 777-200, bagi laluan antarabangsa ke Eropah,  Timur Tengah,  Australia dan Amerika Syarikat. Pada 2011- ditauliahkan sebagai kapten pesawat Boeing 737-800 bagi laluan domestik dan serantau.
Banyak kisah ajaib membuka mata dan iman tentang kuasa Allah. Kapten Firdaus cuma bercerita tentang makhluk Allah yang bernama ANGIN sahaja menurut pengalaman seorang juruterbang.
Ketika hampir menamatkan latihannya di Australia, beliau hampir dirembat angin kencang di udara, dengan pertolongan Allah beliau selamat mendarat.
Dengan itu kata beliau, kerja Pilot selain bawa pesawat turun dan naik ialah membuat keputusan apabila berlaku suasana yang kurang baik di udara.

Antara keajaiban angin adalah kewujudan SUNGAI ANGIN DI UDARA yang diistilahkan dengan "JET STREAM." Kelajuan angin dalam laluan ini mencecah 200-300 km/jam. Jika pilot bijak memanipulasi sungai ini, perjalanan sebuah kapal terbang mampu disingkatkan kerana angin membantu menggerakkan pesawat. Subhanallah! Subhanallah! Ini sudut baru tafsiran ayat ini..
وَأَرْسَلْنَا الرِّيَاحَ لَوَاقِحَ فَأَنْزَلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَسْقَيْنَاكُمُوهُ وَمَا أَنْتُمْ لَهُ بِخَازِنِينَ }
{Dan Kami hantarkan angin SEBAGAI PEMBAWA (air dan pemindah benih), maka dengan itu Kami menurunkan air (hujan) dari langit, kemudian Kami berikan kamu meminumnya; dan bukanlah kamu yang (berkuasa menurunkannya atau) menyimpannya.} [Al-Hijr [15:22]).
[Lihat Catatan Ustaz Abdullah Bukhari di: JET STREAM ]

Kapt Firdaus Rehlah Haji 1436 (10); Mina - 
Cabaran Seorang Pilot Dan Tanda-tanda Keagungan Allah di Udara.
Lihat di:

Seperti Hari Dilahirkan Oleh Ibu





Ambil Yang Jernih!
Jamaah pula terpaksa bersabar dengan keadaan sempit, cuaca panas, makanan ala kadar dan kena beratur panjang bila ke tandas.
Semoga semuanya menjadi kenanagan manis sepanjang hidup para jemaah haji. Bawa baliklah apa yang baik dan yang tak baik campakkan ke dalam tong sampah.

Kota Yang Bersih Pasti Juga Ada sampah.
“Sebuah bandaraya yang cantik tidak mungkin sunyi dari sampah yang mencemar pandangan. Namun, bukanlah suatu kebijaksanaan sampah tersebut dikumpul dalam sebuah bekas lalu dibawa untuk dipertontonkan di khalayak manusia penghuni bandar untuk menyakiti pandangan dan deria bau mereka dengan tujuan menghinakan. Sepatutnya sampah itu terus dibuang dan disembunyikan jauh dari manusia.”
Baca di: https://www.facebook.com/notes/abdul-basit-abdul-rahman/ulasan-sebuah-buku-yang-menarik-syukran-ayyuhal-aada/162936313742196

Alhamdulillah, setelah bermalam di Mina Pada Malam 11 dan 12 Zulhijjah, kami memilih untuk melakukan Nafar Awal (berangkat awal) ke Makkah.
Dalam perjalanan pulang sekali lagi jemaah diuji dengan masalah bas yang rosak di tengah jalan dan juga bas terpaksa berhenti jauh kerana jalan telah ditutup oleh polis, lalu para jemaah terpaksa berjalan menarik beg ke hotel masing-masing.       Namun tahniah diucapkan kerana jemaah masih mampu mengucap syukur dan tersenyum bila sampai di hotel tengahari tersebut. Semoga Allah ganjari pahala yang banyak untuk mereka yang sabar.
Alhamdulillah semua para pembimbing telah menjalankan tarbiyah dan bimbingan dengan baik, semoga para jemaah dapat menunaikan ibadat haji dengan sempurnanya.
Mendapat keampunan dan keredhaan Allah - Haji Mabrur, amalan diqabul dan dosa diampunkan.

Renungan Buat Mereka Yang Tidak Mengerjakan Haji.
Mampu
Haji merupakan satu ibadah yang perlukan dilakukan dengan ikhlas kepada Allah Ta'ala dan mengikut Sunnah Nabi sollallahu alaihi wa sallam.
Ia merupakan salah satu rukun Islam yang wajib ditunaikan jika mempunyai KEMAMPUAN.
Ada orang yang diberikan peluang oleh Allah untuk menunaikan haji. Ada pula yang tidak diberikan peluang tersebut.
Al-Hafiz Ibnu Rajab rahimahullah berkata:
من لم يستطع الوقوف بعرفة - فليقف عند حدود الله الذي عرفه
"Sesiapa yang tidak dapat BERWUKUF (BERHENTI) di ARAFAH, - Maka hendaklah dia BERWUKUF (BERHENTI) pada BATASAN-BATASAN yang ditetapkan ALLAH; yang dia tahu".
ومن لم يستطع المبيت بمزدلفة - فليبت على طاعة الله ليقربه ويزلفه
"Sesiapa yang tidak dalam BERMABIT (BERMALAM) di MUZDALIFAH, - Maka hendaklah dia BERMALAM dalam melakukan KETAATAN kepada ALLAH; untuk mendekatkan diri kepada-Nya".
ومن لم يقدر على ذبح هديه بمنى - فليذبح هواه ليبلغ به المنى
"Sesiapa yang tidak mampu untuk MENYEMBELIH HADYU (binatang yang dihadiahkan kepada Baitullah) di Mina, - Maka hendaklah dia MENYEMBELIH NAFSUNYA, supaya dia dapat mencapai cita-citanya".
ومن لم يستطع الوصول للبيت لأنه من بعيد - فليقصد رب البيت فإنه أقرب إليه من حبل الوريد
Sesiapa yang tidak dapat sampai ke KA'BAH kerana dia berasal dari tempat jauh, - Maka hendaklah dia menuju kepada (ALLAH) PEMILIK KA'BAH kerana Dia lebih dekat kepadanya daripada urat leher". [Latoif Ma'arif ms: 633]
Jika belum lagi mampu untuk melaksanakan haji, maka buatlah kebaikan dan tinggalkan kejahatan.
Semoga Allah berikan peluang kepada yang belum dapat menunaikan haji untuk dapat menunaikannya suatu hari nanti.
Semoga Allah mudahkan perjalanan mereka yang sedangkan menunaikan haji dan kurniakan mereka haji yang mabrur.
[#Arar, Haj 1436H]

Antara Catatan Pembimbing:


1- REZEKI SEBUAH KEBAIKAN
Bunyi hon dan enjin kenderaan membingit lagi deria pendengaran.
Ruang 'basement' Menara Jam Zam-Zam Makkah sibuk dengan urusan jemaah Haji serata dunia mahu bergerak ke bumi Mina.
Saat menunggu tibanya jemaah, saya di kejutkan dengan kehadiran seorang jemaah Haji dari negara China yang berdiri rapat di sebelah saya. Dalam keadaan itu beliau tiba-tiba menghulurkan kepalanya lantas mengeluarkan pisau cukur dan diberikan kepada saya.
Hati kecil saya begitu kagum dengan keberanian beliau dan tawakkalnya yang begitu tinggi. Macam seakan beliau tahu yang saya ada kalanya dijemput mencukur kepala bayi saat hari ke-7 kelahiran.
Dalam kekeliruan itu, Ust Ahmad Shukri, mudir AshHar Travel memecah diam kami dengan katanya:
"Dia nak minta tolong cukur la tu nak tahallul. Di atas sana nun mahal. Sampai 50 riyal di ambilnya..."
"Bismillah..."
Posting ini bukan niat bermegah. Nauzubillah. Juga tiada hasrat menagih puji. Hanya Allah yang Maha Mengerti.
Sekadar ingin meneguk ibrah dalam ketandusan dunia melupakan hikmah.
Wahai para tetamu Allah. Kebaikan atau kebajikan itu satu misteri. Ia boleh menerjah tanpa kita sedari. Ia juga ibarat rezeki yang jangan dinafi.
Jangan hanya bersempadan dalam kebaikan yang bersifat rohaniyyah dan spiritual semata-mata. Rezeki kebaikan ada juga pada ibadah yang bersifat kemanusiaan, ibadah bertoleransi, ibadah akhlak dan pekerti, ibadah memahami dan difahami, ibadah menjaga alam persekitaran, ibadah muamalat keinsanan, ibadah komunikasi, ibadah bantu-membantu dan pelbagai pintu-pintu ibadah yang tak tersenaraikan.
Allah itu Maha Pemurah. Jika kena pada syariat dan gayanya serta adabnya, mungkin ia juga mampu bernilai hebat bak pahala solat di Masjidil Haram yang penuh berkat.
Justeru, jangan lagi 'terlena' tatkala rezeki kebaikan datang menyapa. Sedarilah segera agar tidak dikesali akannya.
Berkata Khalid bin Mi'dan Rahimahullah :
اذا فتح أحدكم باب خير فليسرع إليه ; فإنه لا يدري متى يغلق عنه
"Jika pintu kebaikan dan kebajikan itu telah terbuka maka bersegeralah memasukinya kerana tidak diketahui ketikanya pintu itu akan ditutup."
#AFM - Ahmad Husni Abd Rahman. - Makkah, 28 September at 05:25 ·
#LensaIbrahHajj1436H [Lihat: Husni - Rezeki Pahala ]

2- MENSYUKURI IBU BAPA
"Jangan lari! Nanti jatuh"
Biasanya itulah teriakan seeorang bapa atau ibu tatkala anak-anak kecilnya bermain dan berlari.
"Mari nak makan dah siap!"
Panggil sang ibu kepada anak-anaknya menjemput makan.
Betapa urusan ibu ayah berlelah susah demi melihat anak-anak membesar dan dewasa.
Benar, haji terkandung seribu satu ibrah.
Tugasan yang kadangkala melibatkan warga tua sebenarnya mampu menyentap jiwa.
Sewaktu membantu salah seorang jemaah kelmarin usai pulang dari klinik, saya memimpin tangan beliau. Tiba-tiba beliau menggenggam erat jari jemari saya. Tiada bicara yang ada hanya rasa. Rasa yang lahir dari jiwa seorang hamba. Dari rasa seorang yang bernama bapa...
Barangkali tersimpan satu hasrat yang tak mampu nak diungkap. Ada harapan yang tidak mampu dilafazkan. Harapan ada insan bergelar anak yang sudi meneman...
Ya...mungkin kita mampu menguruskan syarikat dan segala urusan dunia namun sukar dan mencabar bila mahu menguruskan ibu dan bapa.
Namun ada juga yang direzekikan untuk berkhidmat kepada ibu bapanya dalam musim yang penuh barakah ini.
Dua dunia yang berbeza. Dua keadaan yang punya nilai dan intipati berbeda.
Firman Allah :
﴿ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ [لقمان: 14]
"Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu..."
Sukar sekali manifestasi SYUKUR buat kedua ibu bapa ini...Ya Allah bantulah mereka yang masih punya ibu bapa. Ilhamkanlah segala kekuatan dan upaya buat mereka mensyukuri nikmat ibu bapa dengan berbakti buat mereka...
P/S - Mulahazah (Pemerhatian)
Ada baiknya ditetapkan bagi sesiapa yang mahu menghantar ibu bapa yang  sudah tua menunaikan haji dan umrah elok dihantar bersama juga salah seorang anak untuk membantu dan menguruskan hal mereka di Tanah Suci. Sekadar cadangan yang saya kira punya nilai kebaikan. Insya Allah
#AFM - Ahmad Husni Abd Rahman.
#Makkah,15Zulhijjah1436H - 29 September 2015.
#LensaIbrahHaji1436H [Lihat: Husni - Jagalah Ibu Bapa ]

3- Haji Mabrur vs Haji Malboro.

JANGAN ROSAKKAN PENGEMBARAAN SEKALI SEUMUR HIDUP DENGAN ASAP PENYAKIT
Apabila selesai sebatang, lelaki itu cuba menyambung sedutan "asap fasiq" untuk batang yang kedua. Pada saat itu, Tuan Guru Dr. Abdul Basit yang baru keluar dari tandas di khemah Mina segera memegang tangan lelaki itu seraya berkata:
"Encik! Cukup dulu! Tergamak encik mencemari Tanah Haram seperti Mina ini dengan asap rokok yang sudah difatwakan Haram oleh para ulama'. Jangan dirosakkan Haji Encik dengan benda ini."
Itulah realiti yang berlaku kepada sesetengah perokok tegar. Kegilaan kepada batang rokok yang haram itu tidak mengenal tempat. Lokasi pilihan untuk merokok ketika di khemah Mina pun cukup strategik iaitu berhampiran tandas dan semua sedia maklum tandas adalah sarang "musuh azali manusia." (Fatir [35:6]).
Merokok di Tanah Haram ketika menunaikan haji sebenarnya "membakar hangus" peluang mendapat haji Mabrur. Bunyinya kasar tetapi itulah yang ditegaskan Allah dalam al-Quran:
الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَعْلُومَاتٌ ۚ فَمَنْ فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِي الْحَجِّ ۗ وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ يَعْلَمْهُ اللَّهُ ۗ وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَىٰ ۚ وَاتَّقُونِ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ
Ertinya: (Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, "DAN TIDAK BOLEH MEMBUAT FASIQ (DOSA DAN MAKSIAT)", dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya) (al-Baqarah[2:197]).
Perkataan Fusuq atau melakukan maksiat merangkumi segala macam benda haram seperti rokok. Ia jelas difatwakan haram oleh para ulama' baik di Malaysia atau di mana sahaja.
Haji adalah pengembaraan seumur hidup kerana ia diwajibkan hanya sekali dalam seumur hidup
Muslim. Peluang untuk datang menunaikan Haji pun sangat sukar dengan segala macam kekangan seperti kouta haji dan sebagainya. Alangkah malangnya jika pengembaraan yang sekali ini dirosakkan hanya kerana kegilaan menghirup asap penyakit itu. Tahanlah diri sekejap dari merosakkan "peluang keemasan yang sekali ini."
Dr. Abdul Basit bercerita pernah satu pasangan duduk berhampirannya. Isteri dengan gembira menyatakan sudah berdoa banyak kebaikan untuk si suami. Antaranya doa agar suami berhenti merokok. Suaminya terkejut besar lantas berkata:
"Ya Allah, mohon batalkan doa berhenti merokok isteri saya tu."
Astaghfirullah! Sampai begitu sekali rokok sudah bertapak kemas dalam lubuk hatinya.
Kepada perokok tegar yang sukar meninggalkan rokok, ada caranya meninggalkan rokok ketika di Tanah Suci dan selepas balik Malaysia. Bagaimana? Jawapannya ada dua iaitu (1) niat mahu berhenti dan (2) terapi air zam-zam.
Mulakan dengan niat ikhlas mahu meninggalkan rokok "SELAMANYA" demi kesempurnaan haji dan Islam anda. Tanpa niat ini air zam-zam 10 tempayan pun tak akan mengubah "sakit gila rokok" anda.
Apabila niat sudah bulat kerana Allah mahu "bercerai talak 1000" dengan rokok, berdoalah ketika minum air zam-zam kerana ia janji Baginda SAW:
مَاءُ زَمْزَمَ لِمَا شُرِبَ له
Ertinya: "Air zam-zam itu (mengkabulkan apa sahaja hajat) pada apa orang yang meminumnya." (Musnad Ahmad dan Sunan Ibn Majah).
Status hadis ini masih diperselisihkan oleh para ulama' Hadis, namun tidak kurang ada juga menerimanya sebagai Hadis Hasan.
Dalam sebuah riwayat (yang masih diperselisihkan status kesahihannya), Abdullah Ibn 'Abbas pernah berdoa ketika meminum air zam-zam:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا وَرِزْقًا وَاسِعًا وَشِفَاءً مِنْ كُلِّ دَاءٍ
Ertinya: "Ya Allah! Aku mohon padaMu ilmu yang bermanafaat, rezeki yang luas dan PENAWAR DARI SEGALA PENYAKIT." (Mustadrak al-Hakim, Sunan al-Daruqutni).
Imam Ibn al-Qayyim juga menyatakan kemujaraban air zam-zam dalam mengubati berbagai penyakit yang dihidapinya. Ia juga menjadi minuman yang mengenyangkan sehingga ada yang tinggal berhari-hari dalam Masjidil Haram bertawaf tanpa makanan (Zad al-Ma'ad).
Bahkan jika diteliti kisah para ulama', doa mereka agar mencapai darjat tertinggi dalam ilmu, amal dan kesolehan banyak dimakbulkan setelah meminum air zam-zam. Jika mampu membaca teks Arab, rujuklah pada link ini:
http://www.ahlalhdeeth.com/…/archive/index.php/t-115159.html
Subhanallah! Sungguh beruntung sekali perokok tegar yang dijemput Allah ke Tanah Suci. Dalam ribuan hambaNya seluruh dunia anda terpilih untuk sampai ke sini demi ibadah haji. Makkah pula bukan sebarang bumi, ia bumi yang sungguh mustajab dalam penerimaan sebarang doa. Gunakan peluang berada di Tanah Haram ini untuk "mengubati sakit ketagih rokok" anda dengan mukjizat nabi Ismail AS ini. Biar pulangnya anda nanti ke Tanah Air adalah dengan kepulangan suci dari dosa dan "daki" najis rokok.
Tinggal lagi apa kehendak anda? Doktor boleh mencadangkan ubat untuk pesakit, tapi jika pesakit malas mengambil ubat yang ternyata baik untuknya apalah gunanya ubat tersebut. Malang dan sungguh malang pesakit yang "maha degil" seperti ini. Mohon dijauhkan Allah dari kedegilan sebegini.
# Oleh: Haji Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim. [Lihat: Haji Malboro ]
22 SEPTEMBER 2015/9 ZULHIJJAH 1436 H.

AAM; ROKOK Dulu Makruh Kini HARAM - Tips meninggalkan tabiat buruk merokok. 


PENJELASAN PANDANGAN ULAMA": 'ROKOK HARAM' 


SEMOGA BEROLEH HAJI MABRUR.

AAM, PSD, 27 Zulhijjah 1436H.

Bersambung ke siri 3 Insya' Allah.


Beberapa Siri Tazkirah di Mina;
AAM Tazkirah Mina Tarwiyah (1436); Antara Menutup Aurat Dengan Membungkus Aurat.



AAM Tazkirah Mina Tarwiyah (1436); Tahqiq Tauhid Dlm Talbiyah, Tidak Mempercayai Ramalan Dukun.


AAM Tazkirah Mina Tarwiyah (1436); Nasihat Al Hasan Basri Kpd kita Agar Perbanyakkan Ibadat.


AAM Tazkirah Mina Tarwiyah (1436); Manusia Yang Ikut Style Lembu Kenyang...Tamsil.